sekadar share penulisan seorang murabbi kepada mutoraabbinyer....
Seperti biasa, apabila menjelangnya 'musim' peperiksaan, kita mestilah lebih mendekatkan diri kita kepada Allah. Jika sebelum ini kita jarang turun surau, mulai sekarang kita tanamkan azam untuk sentiasa berjemaah disurau. Perbanyakkan solat sunat dan berdoa kepada Allah, terutama di sepertiga malam yang terakhir, kerana waktu itulah doa-doa kita mudah untuk dimakbulkan Allah. Mohonlah keampunan, kejayaan dalam peperiksaan, dan tanamkan azam untuk menjadi lebih baik lagi dimasa akan datang.
Diberitakan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Allah turun ke langit dunia pada sepertiga yang akhir di setiap malam. Dia berfirman 'Barang siapa berdoa kepadaKu, akan Kuperkenankan doanya. Barang siapa meminta kepadaKu, akan Ku beri dia. Siapa yang minta ampun, akan Ku ampuninya."
-sahih riwayat Bukhari, bab Solat Tahajud-
Yang kedua, mohonlah keampunan dan doa daripada kedua ibu bapa kita. Bagi yang tinggal berdekatan, pulanglah sebentar, bagi yang jauh, telefonlah mereka. Tanyakan khabar, mohon kemaafan, dan ucapkan terima kasih kepada mereka. Sesungguhnya yang membantu kita untuk hidup dan berjaya hingga kini adalah atas usaha dan doa daripada ibu bapa kita juga. Pastikan kita sentiasa menjaga hubungan yang baik dengan mereka.
"Dan Kami perintahkan (wajibkan) manusia agar berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam tempoh dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kamu dikembalikan"
-surah Luqman, 31:14-
"Wahai orang-orang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta dengan orang-orang yang sabar"
-surah Al-Baqarah, 2:153-hadapi ini mendapat rahmat dan keberkatan Allah.
Islam tidak terbatas dalam konteks ibadah sahaja, bahkan lebih luas dan menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Islam mengajar kita menjadi manusia yang terbaik, dari segi pemikiran, akhlak, sahsiah dan budaya kerja. Allah berfirman:
"Dan katakanlah, 'Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga RasulNya dan orang-orang Mukmin; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan."
-surah At-Taubah, 9:105-
"Bekerjalah", merupakan kata suruhan yang cukup jelas dalam menekankan kepentingan bekerja, termasuklah belajar dan menuntut ilmu. Jika difahami suruhan ini, Allah dengan jelas telah menolak sifat malas dalam diri seorang muslim. Maka menjadi kewajipan kepada kita untuk terus berusaha, untuk berjaya dalam kehidupan kita.
Setiap apa yang kita lakukan akan dihitung diakhirat kelak. Allah, rasulNya dan orang-orang beriman akan menjadi saksi atas setiap perlakuan kita didunia ini. Secara tidak langsung, ayat ini menekankan bahawa setiap perlakuan kita mestilah selari dengan perintah Allah, tidak melanggar apa yang dilarangNya.
"Katakanlah, 'Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam."
-surah Al-An'am, 6:162-
Sebagai pelajar, keikhlasan dalam menuntut ilmu sangatlah penting. Jika kita belajar untuk mencari keredhaan Allah, maka tidak perlu ada rasa takut, kecewa dan berputus asa walaupun sebesar mana kesulitan yang kita hadapi. Kita mesti yakin bahawa Allah pasti akan menolong kita, jika benar apa yang kita lakukan ini untuk keredhaanNya.
Istiqamah dan bersederhana dalam melakukan kebaikan adalah lebih baik dan dituntut. Begitu juga ketika kita mengulangkaji pelajaran. Tidak perlu kita memaksa diri belajar dari larut malam hingga ke pagi, tetapi aturlah masa agar ianya tidak mengganggu masa tidur dan membolehkan kita fokus keesokan harinya.
Aisyah r.a. pernah menceritakan kisah seorang wanita yang berlebih-lebihan dalam solatnya. Rasulullah bersabda:"Jangan begitu! Kerjakanlah sekadar mampu. Demi Allah, Dia tidak bosan memberikan pahala, sehingga kamu sendiri yang merasa bosan (mengamalkannya). Amal yang lebih disukai disisi Allah ialah amal yang dilakukan secara tetap dan teratur"
-sahih, riwayat Imam Bukhari-
Dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah s.a.w. mengingatkan,
"Tuhan kalian berfirman: Wahai anak Adam (manusia sekalian)! Hendaklah kamu sibuk beribadah kepadaKu, nescaya Aku penuhi hatimu dengan rasa cukup dan Aku penuhi kedua-dua tanganmu dengan rezeki.
Wahai anak Adam! Janganlah kamu menjauhi dirimu daripadaKu, kerana tentu Aku penuhi hatimu dengan rasa serba tidak cukup dan Aku penuhi kedua-dua tanganmu dengan kesibukan."
-sahih, riwayat al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi-
Belajar juga termasuk sebagai salah satu ibadah, apabila kita niatkan keranaNya. Jika kita belajar dengan sebenar-benar ikhlas kerana Allah, insyaAllah diri kita akan lebih dekat kepadaNya.