baiklah, coretan kali ini tidaklah bertujuan untuk menceritakan tentang diri sendiri namun sekadar satu perkongsian tentang erti perubahan dalam kehidupan.
Benar, idealnya kita mahu berubah kerana perubahan itu fitrah seorang manusia. namun adakah ianya secara drastik sepertimana perubahan Saidina Umar al-Khattab daripada seorang penentang Islam yang tegar kepada pembela Islam yang menyerahkan dirinya untuk islam. Atau perubahan Mus'ab daripada seorang anak manja yang dipenuhi hidupnya dengan kemewahan dan kesenangan dunia kepada seorang pemuda zuhud yang syahid dengan hanya kain gamis sebagai pakaiannya. Subhanallah.
Tetapi hakikatnya setiap manusia punya kekuatan yang berbeza untuk berubah. Ada yang perlukan lebih masa dan tenaga untuk melakukan sesuatu perubahan. Dan yang lebih dikhuatiri adalah apabila seseorang itu berubah secara terlalu drastik, suatu hari apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, dia akan kembali kepada jurang dalam yang lama, malah jatuh lebih dalam lagi. Biarlah perubahan yang terjadi adalah perubahan yang berasaskan kefahaman dan perubahan yang konsisten.
.jpg)
Pokoknya, berubah. Dan istiqamah dengan perubahan itu.
Nabi SAW bersabda:
"Amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang dilakukan secara istiqamah (terus-menerus) walaupun ianya sedikit."
[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]
Sama ada kita sedar atau tidak sahaja. Setiap hari kita melalui fasa perubahan. Pokoknya, setiap saat dan ketika, kita tidak boleh lari daripada berubah. Kerana perubahan itu berkadar terus dengan masa, makanya, tidak berubah adalah sesuatu yang amat mustahil dilakukan.
Cuma persoalan yang lebih utama kini adalah, perubahan yang bagaimana yang kita mahukan..? Perubahan jenis apa yang mahu kita semaikan..?
Sudah tentulah perubahan yang positif. Perubahan yang baik lagi membaikkan. Dan perubahan yang mendekatkan lagi diri kita kepadaNya dan bukan semakin jauh daripada kasih sayangNya.
Dalam al-Quran Allah menceritakan bermacam-macam ayat tentang keampunanNya, tentang maghfirahNya yang tiada tolok bandingnya. Walau sebesar mana dosa kita, keampunan Allah itu tetap setia menanti buat mereka yang mencarinya.
"Dan bersegeralah kamu mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa..."
[ali-Imraan, 3:133-134]
Allah itu baik kan...?
namun seringkali kita tidak bersangka baik dengan Allah..

kita lupa akan detik-detik yang selalu hadir mengetuk-ngetuk pintu hati kita untuk berubah,
Namun.......
aaahhhh, sekiranya benar Allah tidak sayang kepada kita, andai benar Allah tidak peduli kepada kita, jika benar Allah tidak mengasihi dan ambil berat tentang kita, mengapa agaknya begitu banyak sekali di dalam alquran Allah mengajar kita bagaimana mahu menjadi orang-orang yang bertaqwa, bagaimana mahu menggapai redhaNya? Mengapa agaknya Allah begitu bersungguh-sungguh menurunkan firmanNya yang mulia, berkaitan dengan tips-tips dan cara untuk masuk sorga? Tidak cukup dengan itu, Dia hantar pula ar-Rasul SAW yang mulia lagi tercinta, untuk mengajar dan membimbing kita, supaya kita lebih dengan faham dengan tuntutan ayat-ayat chentaNya..?
Jika agama gagal menawarkan HARAPAN, ia bukan dari Tuhan.
MAKA, Kita hidup dengan harapan. Kita kuat dengan harapan. Dan kita bangkit dengan harapan. Dan Islam sememangnya menawarkan harapan. Allah sentiasa menawarkan harapan.
Namun kitalah yang seringkali menghancurkan dan menguburkan harapan. Kitalah yang seringkali menjadikan harapan itu tampak kelam dan tiada masa hadapan. Dan kita jugalah yang seringkali menjadikan harapan itu musuh kepada perubahan.
Mengapa kita perlu berubah..?
Kerana syurga itu hanya untuk orang-orang yang mengorbankan jiwa dan raganya demi agama yang tercinta. Kerana redha Allah itu hanya untuk orang yang bersungguh-sungguh mendambakan cintaNya. Dan kerana keselamatan dari azab neraka itu hanyalah untuk mereka yang benar-benar taat pada suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Bagaimana mungkin kita mengecapi semua itu seandainya kita tidak mahu berubah..?
Iyyya, berubah itu susah. Tetapi perubahan itu perlu, dan perubahan itu perlu dilakukan sekarang.
Saya tutup penulisan kali ini dengan satu ayat quran dan hadith yang saya kira, cukup memberkas pada jiwa dan raga saya. Moga ia juga memberikan kesan yang sama kepada kalian semua.
انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
[surah attaubah ayat 41]
Dari Anas bin Malik r.a. berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,
"Allah SWT berfirman, 'Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepadaKu dan berharap kepadaKu, akan Aku ampuni apa yang telah kamu lakukan, Aku tidak peduli.
Wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta ampunan kepadaKu, akan Aku ampuni.
Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang kepadaKu membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian engkau datang kepadaKu tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu pon, pasti Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.'"
[Hadith riwayat Tirmidzi]
>>mengharapkan kalian semua mendoakan kepada mereka yang pergi mendahului kita, moga-moga mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman...
dan buat kita semua, jika kita masih mempunyai ibu dan ayah berbaktilah, kerana tiada berguna menyesal dikemudian hari ketika ketiadaan mereka...
No comments:
Post a Comment